Selasa, 24 Desember 2013

Penjelasan Isu Pegawai Tinggi Khazanah Guna Kad Kredit Hingga RM1 26 Juta


KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menafikan wujud unsur penipuan, rasuah atau penyelewengan penggunaan 106 kad kredit American Express tanpa had oleh pegawai tinggi syarikat itu hingga menyebabkan hutang tertunggak sebanyak RM1.26 juta.

Khazanah dalam satu kenyataan media memberitahu, perkara itu sebenarnya melibatkan soal pentadbiran iaitu kelewatan mengemukakan dokumentasi perbelanjaan kerja oleh beberapa kakitangan dalam tempoh yang ditetapkan, dua bulan daripada perbelanjaan yang ditanggung.

“Ia tidak melibatkan perbelanjaan yang palsu atau tidak wajar. Sebagai makluman Khazanah mengenakan potongan gaji bulan ketiga bagi apa-apa kelewatan dan potongan ini selaras dengan penyerahan dokumen yang diperlukan.

“Khazanah berharap penjelasan ini akan melegakan hal ini dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan syarikat pada setiap masa,” kata kenyataan itu hari ini.

Khazanah bagaimanapun melihat perhatian yang diberikan oleh ramai pihak mengenai isu tersebut sebagai satu perkara yang positif dalam usaha `check and balance’ bagi memperkasakan sistem dan prestasi syarikat itu.

Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng pada 5 Oktober lalu membuat laporan di Balai Polis Jinjang supaya penggunaan 106 kad kredit American Express tanpa had oleh pegawai tinggi Khazanah hingga menyebabkan hutang tertunggak berjumlah RM1.26 juta disiasat.

Dakwa beliau, kad kredit terbabit diperuntukkan kepada Pengarah dan Pegawai Eksekutif syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan itu sepertimana Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Sehingga 31 Disember 2012, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa hutang itu juga gagal diisytiharkan sebahagian daripada pegawai terbabit.

0 komentar:

Posting Komentar