![](http://4.bp.blogspot.com/-7ic1PPi0rsw/UlgZ9JH6L-I/AAAAAAAAIs0/sx40AhIIUUw/s1600/Pramugari.png)
Sebelum pesawat menghampiri landasan untuk berlepas, pergerakan sesebuah pesawat dari ruang parking pesawat ke landasan perlepasan dipanggil “taxi” dalam bahasa penerbangan.
Biasanya ketika taxi itulah, para pramugari akan menjalankan taklimat keselamatan berkaitan penerbangan kepada semua penumpang.
Taklimat keselamatan biasanya berkenaan cara menggunakan tali pinggang keledar, cara menggunakan topeng oksigen dan juga cara menggunakan jaket keselamatan jika pesawat mendarat di atas permukaan air atau lautan.
Namun, bagi sebuah penerbangan khas syarikat penerbangan AirAsia Chevrolet dari Jakarta ke Yogyakarta pada 8 Oktober lalu, taklimat keselamatannya disampaikan dalam versi berbeza yang penuh dengan kelucuan.
Ia dikongsikan seorang pengguna Facebook yang turut menyertai penerbangan khas itu.
Dalam penerbangan itu, taklimat versi istimewa itu disampaikan dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.
Pramugara yang memberikan taklimat menggunakan mikrofon membuat lawak ke atas hampir semua kemudahan keselamatan dalam pesawat antaranya jaket keselamatan atau dalam bahasa Indonesia baju pelampung.
“Baju pelampung ada di bawah tempat duduk anda. Life vest is located under your seat, i repeat it is under your seat not underwear,” kata pramugara itu mencetuskan gelak ketawa para penumpang.
Selain itu, kad penerangan keselamatan pesawat yang biasanya diletakkan di dalam sarung di belakang tempat duduk turut dijadikan bahan lawak.
“Kartu (Kad) taklimat keselamatan terletak dalam kantung (ruang) kerusi anda, mohon dibaca dengan saksama (teliti), edisi dengan foto saya akan keluar bulan depan,” katanya.
Akhir sekali, lawak berkenaan larangan merokok dalam penerbangan turut membuatkan para penumpang penerbangan khas itu tertawa besar.
“Anda dilarang merokok sepanjang penerbangan ini, merokok di dalam kamar kecil (tandas) akan mengaktifkan alat pengesan asap dan ingat… merokok menyebabkan impotensi (kemandulan),” katanya.
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS
0 komentar:
Posting Komentar